Oleh ASLIZA MUSA
BAGAN SERAI – Pemasangan Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di Balai Polis Simpang Lima di Parit Buntar di sini semalam dilakukan secara tidak sengaja.
Gambar menunjukkan bendera dipasang terbalik itu tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, bendera itu dipasang oleh seorang anggota balai pada pukul 6 pagi dan hanya disedari terbalik sejam kemudian.
“Selepas menyedari kesilapan itu, anggota terbabit telah memperbetulkan semula bendera tersebut pada kedudukan asal.
“Bagaimanapun, gambar bendera berkenaan telah tular dan Ketua Polis Balai telah pun membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya telah mengambil keterangan anggota terbabit dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963.
Katanya, tindakan akan diambil ke atas sesiapa saja yang memasang bendera terbalik tidak kira pegawai atau anggota polis mahupun orang awam.
“Kejadian ini patut dijadikan ikhtibar kepada enam buah balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian supaya tidak cuai semasa menjalankan tugas.
“Siasatan kes tersebut telah dijalankan dan kita minta agar gambar tersebut tidak lagi ditularkan,” katanya. -K! ONLINE