SEPANG – Pendaki solo profesional, T. Ravichandran menyasarkan untuk menakluk puncak Gunung Everest untuk kali keempat pada tahun depan dengan kali ini tanpa penggunaan bantuan oksigen.
Sehubungan itu, beliau berkata, persiapan rapi perlu dibuat terlebih dahulu termasuk dari segi mendapatkan rujukan dan nasihat daripada pengamal perubatan dalam menjayakan misi tersebut.
“Tahun depan kita akan cuba menjalankan persiapan termasuk merujuk doktor perubatan. Sekiranya persiapan rapi dapat dilakukan, tahun depan boleh berjaya sampai di puncak Gunung Everest tanpa bantuan oksigen dan cuma bergantung kepada air minuman beroksigen MyPW.
“Dengan persiapan rapi dan bantuan penaja, mungkin akan kemas kini sedikit botol air MyPW sebab apabila berada di paras 7,000 meter lebih, air akan beku terutama waktu pagi, jadi kita mahu pastikan air tidak beku,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Beliau tiba di KLIA dari Kathmandu, Nepal disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Arifin Abdu dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arbaie Sujud serta ahli keluarga, rakan dan alumni UPM.
Ravichandran, 57, yang juga alumni UPM mengibarkan bendera universiti itu di puncak tertinggi dunia menerusi Misi UPM Di Puncak Dunia @Everest dengan slogan #daripadaalumnikepadaupm.
Ditanya mengenai misi pada tahun depan, beliau berkata, sasaran tersebut bermula 25 Mac hingga minggu pertama bulan Jun dan sesi latihan akan bermula pada September ini. – KOSMO! ONLINE