KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan yang tular di media sosial membabitkan kenderaan jenis Perodua Bezza dan Perodua Aruz yang berlaku di Jalan Kinabalu di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya telah mengesan sebuah video berdurasi satu minit 23 saat yang dimuat naik di laman Facebook membabitkan kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku pada Jumaat lalu kira-kira pukul 11.59 pagi melibatkan kereta jenis Perodua Bezza dan Perodua Aruz di Jalan Kinabalu.
“Pemandu kereta Perodua Aruz berkenaan telah hadir membuat laporan polis manakala pemandu Perodua Bezza masih belum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.