KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi memberi kuasa kepada agensi tersebut dalam memastikan tiada penyalahgunaan di dalam Bahasa Melayu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat supaya DBP dapat menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan tiada lagi penyalahgunaan.
“Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak merdeka. Oleh itu, langkah memartabatkan Bahasa Melayu juga adalah menjunjung tinggi Perlembagaan Negara.
“Begitu juga dengan pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959. DBP telah mengadakan beberapa bengkel untuk memastikan urusan pindaan akta itu dapat dicapai secepat yang boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, pembentangan kertas kerja pindaan akta itu akan dilakukan sepenuhnya oleh DBP dalam tempoh tiga hari ini.
“Difahamkan sebanyak 60 pembentangan kertas kerja daripada 15 bidang akan dilakukan bermula hari ini sehingga 24 Mei nanti.
“Selepas itu, kita akan bawa perkara tersebut kepada Kabinet dan seterusnya Parlimen,” ujarnya.
Ismail Sabri turut menegaskan bahawa pentingnya semua sektor menggunakan Bahasa Melayu secara menyeluruh memandangkan ia adalah bahasa urusan rasmi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. – KOSMO! ONLINE