SEREMBAN – Seorang doktor wanita ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik hotel di Pasir Panjang, Port Dickson di sini petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, mangsa yang berusia 37 tahun ditemui terbaring di atas katil dalam bilik hotel tersebut oleh seorang pekerja hotel.
Aidi Sham berkata, mangsa yang masih bujang merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor.
“Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian selain menerusi semakan dari pihak hotel, mangsa telah mendaftar seorang diri di hotel berkenaan pada 19 Mei lalu.
“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Pasir Panjang pada pukul 2.56 petang,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, bedah siasat ke atas mangsa telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Port Dickson pada pukul 10 pagi semalam.
“Punca kematian mangsa adalah ‘undetermined’ iaitu punca sebenarnya tidak dapat dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR). -KOSMO! ONLINE