Oleh ZAKI SALLEH
GOPENG – Usaha mencari dan menjejak kehilangan Mohammad Ashraf Hassan, 30, yang masih gagal dikesan ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19) di sini pada tahun lepas tetap diteruskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) biarpun berhadapan kesukaran.
Ini kerana kes kehilangan Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap masih dibuka, malah pihak JBPM sentiasa berusaha untuk mengesan sebarang tanda-tanda baharu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya juga masih lagi berhubung dengan keluarga mangsa bagi mendapatkan sebarang maklumat tertentu selain maklumat orang awam yang boleh membantu.
Katanya, usaha terbaharu untuk mencari petunjuk melibatkan 150 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM pada Latihan Pengoperasian STORM 2020 Peringkat Zon Utara Khas di Gua Tempurung juga tidak berhasil.
“Kita telah menamatkan latihan lasak sejauh 25 kilometer semalam termasuk membabitkan laluan GUT19 iaitu kedudukan terakhir Acap dipercayai hilang.
“Sepanjang laluan ini anggota STORM meneliti kawasan sekitar untuk mengesan petunjuk jika ada seperti cebisan pakaian, kasut dan lain-lain yang membabitkan mangsa tetapi tiada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Gua Tempurung di sini hari ini.
Mohamad Yunus berkata, disebabkan tiada sebarang petunjuk maka pencarian susulan tidak dapat diteruskan.
Bagaimana pun katanya, pihak bomba pada bila-bila masa bersedia untuk melakukan pencarian baharu sekiranya menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak.
Pada 17 April tahun lalu, polis mengumumkan operasi mencari Acap ditangguhkan sementara selepas pencarian selama 24 hari tidak menemukan petunjuk baharu. -K! ONLINE