BERLIN – Hampir 40 orang cedera dengan sebilangan mangsa parah dalam bencana puting beliung yang melanda bandar Paderborn di Jerman kelmarin, kata polis dan pihak bomba.
Seorang jurucakap polis berkata, ribut itu turut menyebabkan kerosakan besar di Paderborn, negeri Rhine-Westphalia Utara dan melanda ketika suhu tinggi luar biasa dicatatkan di Jerman ketika ini.
“Seramai 38 mangsa cedera dengan sebilangan yang parah telah dibawa ke hospital,” kata jabatan bomba dalam satu kenyataan di Twitter.
Menurut polis pula, seorang mangsa sedang bertarung nyawa.
Di negeri jirannya, Rhineland-Palatinate, seorang lelaki berumur 38 tahun meninggal dunia akibat renjatan elektrik selepas terjatuh semasa dia memasuki bilik bawah tanah yang dibanjiri air di kediamannya, kata polis di bandar Koblenz.
Perjalanan kereta api di barat Rhineland-Palatinate turut tergendala, manakala polis meminta orang ramai supaya tidak keluar rumah.
Di Paderborn, polis menganggarkan kerugian yang disebabkan puting beliung itu mencecah beberapa juta euro.
Jurucakap polis berkenaan berkata, banyak bumbung kediaman tercabut, tingkat pecah dan pokok tumbang.
Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan puting beliung itu bergerak ke arah kawasan kejiranan dengan menumbangkan pokok serta merosakkan bangunan.
Beberapa gambar lain memaparkan sebilangan kereta terbalik ditiup angin kencang.
Bandar Lippstadt yang terletak sekitar 30 kilometer dari Paderborn juga dilaporkan dilanda puting beliung, kata seorang jurucakap bomba sambil menambah, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Dalam pada itu, jabatan meteorologi Jerman kelmarin mengeluarkan amaran ribut dan meramalkan angin kencang mencecah kelajuan 130 kilometer sejam di beberapa tempat. – AFP