GEORGE TOWN – Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjadi ‘hero’ selepas menyelamatkan seorang wanita yang cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang petang tadi.
Difahamkan, anggota bomba berkenaan yang ketika itu tidak bertugas kebetulan berada di lokasi kejadian iaitu di Kilometer (KM) 3.4 jambatan berkenaan dari Prai menghala ke bahagian pulau.
Menurut jurucakap JBPM negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 3.35 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Jelasnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati seorang wanita berusia 43 tahun telah pun diselamatkan oleh orang anggota mereka yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.25 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, satu video memaparkan kejadian terbabit tular di media sosial hari ini yang menunjukkan anggota bomba berkenaan meluru ke arah seorang wanita yang sedang berdiri di tebing Jambatan Pulau Pinang.
Anggota bomba itu kemudiannya berjaya menyelamatkan wanita berkenaan sebelum beberapa individu lain dipercayai anggota keluarga mangsa turut menyelamatkan wanita terbabit. – KOSMO! ONLINE