fbpx

Barangan antik pamer sisi unik restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zakaria Daud memiliki lebih 200 botol minuman lama pelbagai jenama.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Sebuah restoran di Bandar Baru di sini menampilkan tema unik dengan mempamerkan barangan antik untuk membangkitkan suasana zaman dahulu.

Pemilik Restoran Dalam Taman D’ Tasik, Zakaria Daud, 61, berkata, idea untuk membuka restoran berkonsepkan dalam taman, klasik dan santai itu tercetus apabila dia bersama isterinya berkongsi minat sama terhadap barangan antik.

Katanya, koleksi barangan antik peribadinya seperti mesin getah, tanduk kerbau, botol minuman serta pinggan mangkuk lama berusia lebih 60 tahun telah dijadikan bahan hiasan restorannya.

“Saya mengumpul barang itu sejak lebih 30 tahun lalu kerana barangan itu mudah didapati daripada orang kampung.

“Sebagai contoh botol minuman lama jenama seperti Pepsi, Coca Cola, Mirinda, F & N, atau 7UP yang saya dapat secara percuma satu ketika dahulu, namun kini orang berminat mahu beli dengan nilai ratusan ringgit,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Zakaria yang merupakan pesara Jabatan Perhutanan berkata, ketika ini, dia mempunyai sebanyak 200 botol minuman lama dan 100 pinggan klasik bunga kangkung.

Katanya, restoran yang terletak bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang baru dibuka sejak lima tahun lalu selepas tapak restoran lama mereka di Jalan Gua Musang – Cameron Highlands musnah dilanda banjir besar enam tahub lalu.

“Tiada yang lebih memilukan apabila melihat dengan mata sendiri restoran dipenuhi dengan barangan antik musnah sekelip mata setelah lima buah tong minyak diesel hanyut lalu merempuh premis kami.

“Kejadian itu menyebabkan saya kerugian RM300,000 dan kini saya sudah bangkit kembali,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI