fbpx

Zii Jia selangkah rangkul Terbuka Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA berada pada landasan tepat untuk menjuarai gelaran antarabangsa keduanya dalam tahun ini selepas mara ke final Terbuka Thailand. - BADMINTON PHOTO/BAM

PETALING JAYA – Pemain perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia mara ke pentas final Terbuka Thailand selepas menewaskan Liew Daren pada aksi separuh akhir di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.

Jaguh Asia berusia 24 tahun itu tetap diberikan tentangan sengit daripada Daren sehingga terpaksa beraksi selama tiga set dalam tempoh 51 minit sebelum menang 21-16, 13-21, 21-14.

Kini, Zii Jia berpeluang merangkul gelaran antarabangsa keduanya dalam tahun ini selepas terdahulu menjuarai Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada 1 Mei lalu.

Sebagai rekod, Zii Jia yang turun selaku pilihan keenam kejohanan, memulakan kempen Terbuka Thailand dengan penuh bergaya selepas menewaskan Ade Resky Dwicahyo dari Azerbaijan di pusingan pertama.

Pemain ranking keenam dunia dari Alor Setar, Kedah itu sekali lagi tidak berdepan masalah apabila berdepan wakil Jerman, Kai Schafer dengan kemenangan 21-7, 21-11 di pusingan kedua.

Ia menyaksikan Zii Jia muncul satu-satunya pemain daripada kelompok lapan terbaik yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir selepas No.2 dunia, Kento Momota dari Jepun, Anders Antonsen (No.3 dunia, Denmark) dan Chou Tien-chen (No.4 dunia, Taiwan) tewas di pusingan pertama.

Bintang No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen juga mengalami nasib sama di pusingan kedua, manakala dua pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting (No.5 dunia) serta Jonathan Christie (No.8 dunia) menarik diri daripada menyertai Terbuka Thailand.

Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Zii Jia apabila dia menewaskan Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia 21-10, 14-21, 21-16 di peringkat suku akhir semalam.

Lawan Zii Jia di pentas final Terbuka Thailand esok sama ada pemain No.45 dunia dari Jepun, Kodai Naraoka atau bintang muda China, Li Shi Feng yang berada di kedudukan ke-50 dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI