WASHINGTON – Sebuah asteroid gergasi dengan lebar lebih 1.6 kilometer (km) diramal melakukan perjalanan paling dekat sebelum melintasi Bumi pada hujung Mei ini, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Jarak perjalanan asteroid tersebut dikatakan lebih dekat dengan Bumi berbanding kebiasaan sehingga ia boleh dilihat di langit.
Asteroid 7335 itu lebih besar berbanding asteroid-asteroid lain yang pernah melepasi Bumi. Saiznya berukuran sekitar 1.77 km lebar.
Sebagai perbandingan, ia adalah empat kali ganda lebih besar daripada Bangunan Empire State dan dua kali ganda lebih besar daripada Burj Khalifa yang terletak di Emiriyah Arab Bersatu.
Pada 27 Mei ini, asteroid gergasi itu dijangka melakukan perjalanan paling dekat dengan Bumi. Bagaimanapun, ia dikatakan selamat tanpa sebarang ancaman impak.
Ia ditemui pada 1 Mei 1989 dan merupakan salah satu daripada 2,265 batu angkasa lepas yang dilabelkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sebagai ‘berpotensi berbahaya’.
Untuk dianggap sebagai ‘berpotensi berbahaya’, sebuah asteroid perlu berukuran sekurang-kurangnya 140 meter lebar dan berada pada jarak 7.4 juta kilometer dari orbit Bumi mengelilingi matahari. – Agensi