TANAH MERAH – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai memecah mesin juruwang di kaunter pandu lalu sebuah restoran makanan segera di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.25 pagi itu, suspek yang berbaju-T biru, seluar sukan paras lutut dan selipar telah membawa lari wang tunai sebanyak RM183.50 di dalam mesin juruwang kaunter pandu lalu restoran berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, semakan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia dan berhenti di belakang bangunan restoran berkenaan.
Menurutnya, lelaki itu turun dari keretanya dan bergegas ke kaunter pandu lalu sebelum memecahkan tingkap gelangsar restoran tersebut menggunakan batu.
“Suspek terus membawa lari wang tunai sebanyak RM183.50 di dalam mesin juruwang.
“Polis berjaya mengesan 11 cap jari di lokasi kejadian dan satu puntung rokok yang ditinggal di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Zulfikri, siasatan mendapati, restoran tersebut tidak beroperasi selama 24 jam dan ia ditutup pada pukul 3.20 pagi tadi.
Katanya, kerugian yang dialami restoran itu termasuk kerosakan dan wang yang dikebas suspek dianggarkan kira-kira RM1,000.
Ujarnya, polis sedang mengesan suspek berdasarkan rakaman CCTV restoran itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE