KAJANG – Seorang wanita maut apabila kereta yang dipandu terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Kilometer 7, Lebuh Raya Lingkaran Kajang (SILK) di Sungai Long, di sini awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.45 pagi.
“Sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva terbabas sebelum terbalik di bahu jalan.
“Mangsa seorang wanita tempatan berusia 29 tahun didapati tidak sedarkan diri dan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, pasukan penyelamat bertindak mengeluarkan mangsa yang disahkan mati di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Kajang.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.24 pagi. – KOSMO! ONLINE