KUALA LUMPUR – Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memindahkan operasinya ke sebuah lokasi baharu di Shah Alam yang mana ia merupakan sebahagian daripada rancangan syarikat tersebut untuk memenuhi permintaan perkhidmatan selepas jualan yang semakin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tomoyuki Shinnishi berkata, pemindahan ke gudang alat ganti baharu bersaiz 40,000 kaki persegi tersebut menyaksikan semua operasi syarikat tersebut kini tertumpu di bawah satu bumbung.
Menurutnya, ia akan mempercepatkan penghantaran alat-alat ganti yang diperlukan rakan niaga MMM termasuklah 52 pengedar di seluruh dunia.
“Pemindahan selaras dengan perkembangan berterusan perniagaan Mitsubishi Motors di Malaysia. Gudang itu terletak di lokasi strategik yang kurang mengalami kesesakan trafik dan mudah dikunjungi menerusi Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
“Ia membolehkan kami menghantar alat-alat ganti dengan lebih pantas memandangkan kami mahu meningkatkan pengalaman perkhidmatan selepas jualan pelanggan dengan mengurangkan waktu menunggu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE