PETALING JAYA – Pelakon Elfira Loy turut berkongsi keberkatan Jumaat bersama-sama Anzalna selepas selamat melahirkan cahaya mata keduanya hari ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri memaklumkan telah selamat melahirkan cahaya mata kedua, seorang bayi perempuan sekitar pukul 6.27 petang du sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.
Lebih indah, kelahiran cahaya mata kedua itu disambut sendiri oleh suaminya, Farish Khairol Anuar.
“Saya ada banyak gambar menarik. Tapi saya sukakan yang ini. Subhanallah, ayah (suaminya) seperti seorang adiwira.
“Menangis mommy (ganti nama Elfira) tengok ayah sambut awak sendiri (anak kedua) ketika mommy mahu melahirkan awak. Alhamdulillah. Ini satu pengalaman menakjubkan,” tulisnya.
Dalam ruangan komen, rakan-rakan selebriti turut berkongsi rasa syukur dan gembira atas kelahiran bayi kedua pasangan itu.
“Alhamdulillah tahniah El dan Faris,” kata pelakon Sari Yanti.
“Pengalaman luar biasa. Tahniah untuk awak berdua,” kata penyanyi Cik Manggis.
“Alhamdulillah sudah sepasang,” komen penyanyi Nabila Razali.
Malah, pelakon Syatilla Malvin yang baru sahaja melahirkan cahaya mata ketiganya pada 9 Mei lalu turut meninggalkann komen mengusik Elfira.
“Pakat beranak semua artis Malaysia. Tahniah Elfira!” katanya.
Terdahulu,?Elfira yang mendirikan rumah tangga bersama Faris pada 1 Januari 2019 memiliki anak lelaki, Rayyan yang kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE