fbpx

Semangat luar biasa Harimau Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD B-23 negara menampilkan semangat juang dan kesungguhan sepanjang 120 minit perlawanan sebelum tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir Sukan SEA di Stadium Vet Tri kelmarin.

HANOI – Meskipun gagal layak ke final Sukan SEA Vietnam 2021, namun pujian harus diberikan kepada skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang berjuang habis-habisan sebelum tewas kepada juara bertahan, Vietnam.

Turun tanpa sebarang sasaran pada temasya dwitahunan ke-31 ini, skuad Harimau Muda negara membuktikan mereka mampu mara lebih jauh berbanding ketika Sukan SEA Manila 2019 selepas gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah yang memenuhi Stadium Viet Tri, skuad negara jelas turun tanpa rasa gerun apabila berjaya memberi tekanan kepada Vietnam.

Namun, segalanya berubah apabila penyerang berusia 24 tahun, Nguyen Tien Linh memastikan kemaraan juara bertahan itu ke pentas akhir untuk bertemu Thailand menerusi jaringan tunggal minit ke-111.

Ketua jurulatih negara, Brad Maloney berkata, secara keseluruhan dia berbangga dengan semangat juang dan kesungguhan dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang 120 minit perlawanan.

“Saya amat berbangga dengan pasukan ini kerana mereka be­kerja keras dan bermain dengan sepenuh hati. Kami hanya ada tempoh satu hari untuk pemulihan daripada perlawanan terdahulu (menentang Kemboja).

“Mereka bermain dalam tempoh 120 minit menentang pasukan terbaik dan telah memberikan segalanya, ia sangat luar biasa dan saya berbangga de­ngan penampilan mereka malam ini (kelmarin).

“Jelas, Vietnam mempunyai fizikal yang baik dan kami berjaya memberi tentangan dan tidak pernah sama sekali berputus asa untuk melancarkan serangan.

“Meskipun atmosfera yang menakjubkan dengan kehadiran penyokong Vietnam memenuhi stadium, saya percaya pemain-pemain menikmati detik itu ketika beraksi menentang pasukan tuan rumah,” katanya dalam sidang akhbar kelmarin.

Selepas tewas kepada Vietnam, Brad mengakui tumpuannya kini beralih untuk membina pasukan lebih baik terutama persiapan Kejuaraan AFC B-23 di Uzbekistan, bulan depan.

“Ini adalah satu matlamat untuk memberikan pendedahan kepada pemain muda terutama untuk dibawa ke Piala AFC bulan depan.

“Bagi saya, ia adalah perkara baik kerana mereka mendapat pendedahan awal. Selepas ini kami memberi tumpuan kepada Piala AFC. Sekiranya pemain tidak mengalami kecederaan dan sebagainya, mereka akan di bawa ke Uzbekistan,” jelasnya.

Vietnam akan membuat perhitungan merebut ibu segala pingat menentang Thailand pada aksi final Ahad ini yang dijadual berlangsung di Stadium My Dinh di Hanoi selepas skuad Gajah Putih itu merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Indonesia.

Malaysia pula akan bertemu Indonesia dalam aksi penentuan pingat gangsa juga pada Ahad ini di Stadium My Dinh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI