fbpx

Pakistan larang import barang mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pengurup wang mengira wang kertas dolar AS di sebuah kedai di Karachi kelmarin. - AFP

ISLAMABAD – Kerajaan baharu Pakistan kelmarin mengumumkan pengharaman import lebih 30 barangan mewah termasuk kereta dan jem sebagai langkah penjimatan bagi membantu memulihkan kemelesetan ekonomi negara.

Pakistan yang kini kekurangan wang berdepan masalah hutang membukit, penyusutan rizab mata wang asing dan inflasi melambung tinggi.

Mata wang negara mencecah paras terendah kelmarin dengan AS$1 bersamaan 200 rupee Pakistan.

“Keputusan saya mengharamkan (pengimportan) barangan mewah akan menjimatkan pertukaran wang asing yang penting buat negara kita,” kata Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dalam pengumuman di laman Twitter.

Langkah itu adalah usaha untuk menyasarkan golongan elit Pakistan. Antara barangan terlarang termasuk telefon bimbit dan kereta yang membentuk sebahagian terbesar import Pakistan selain kosmetik serta jem.

“Kita akan dapat menjimatkan AS$6 bilion (RM26.3 bilion) dengan mengenakan larangan import barangan mewah ini.

“Keputusan ini akan merangsang ekonomi dan industri tempatan,” kata Menteri Penerangan Marriyum Aurangzeb pada satu sidang akhbar pula sambil menambah, larangan itu berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin perniagaan berkata, Pakistan perlu mendapatkan persetujuan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang mengawal selia perdagangan antarabangsa bagi melaksanakan langkah tersebut.

“Saya fikir ia adalah langkah bijak oleh kerajaan. Ini akan membantu menjimatkan pertukaran asing yang amat diperlukan untuk membayar hutang perdagangan antarabangsa kami.

“Kerajaan belum mengisytiharkan darurat kewangan tetapi itulah situasi yang kita hadapi, dan dalam keadaan sedemikian, WTO boleh dipujuk untuk melonggarkan peraturannya,” kata bekas naib presiden kanan Dewan Perniagaan Pakistan, Khalid Tawab.

Defisit perdagangan semasa Pakistan kini berjumlah AS$39.2 bilion (RM172.2 bilion).

Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan digulingkan dalam undi tidak percaya pada bulan lalu selepas beliau didakwa gagal menurunkan kos sara hidup dan mengawal kenaikan harga barangan asas.

Pengumuman kelmarin itu dibuat ketika rundingan antara Dana Kewangan Antarabangsa(IMF) dan Pakistan di Doha gagal memecah kebuntuan. Rundingan itu berhubung pelepasan baki dana IMF menerusi program pinjaman yang dipersetujui sebelum ini.

Pakej penyelamatan IMF berjumlah AS$6 bilion yang ditandatangani Imran pada 2019 tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya kerana kerajaannya enggan melaksanakan beberapa syarat dana antarabangsa itu seperti meningkatkan kutipan hasil dan cukai.

Islamabad setakat ini telah menerima AS$3 bilion (RM13.1 bilion), manakala program itu akan berakhir hujung tahun ini. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI