RAMAI ibu bapa sebuah sekolah agama berasrama penuh di Negeri Sembilan tidak menyangka bahawa anak-anak mereka yang berada di tingkatan dua akan melalui detik-detik mencemaskan selepas dibuli senior tingkatan empat dalam tempoh beberapa jam malam Sabtu lalu.
Bukan setakat penderaan mental, apa yang menyedihkan terdapat beberapa senior mengambil tindakan melakukan penderaan fizikal dengan memukul adik-adik junior mereka dengan penyangkut baju hingga kesan berbirat jelas kelihatan di paha dan sebahagian badan mangsa.
Tidak berpuas hati dengan cara pihak sekolah mengendalikan kes berkenaan, ibu bapa mangsa membuat laporan polis dengan harapan mereka yang membuli tidak terlepas begitu sahaja.
Setahu penulis, tatkala sekolah-sekolah berasrama penuh lain dicemari dengan insiden buli sejak dahulu, namun kejadian buli di sekolah itu jarang kedengaran ke pengetahuan umum, malahan hampir tiada.
Kejadian tersebut betul-betul mengejutkan banyak pihak. Dikatakan ia tersebar selepas seorang pelajar tingkatan dua memaklumkan perkara itu kepada bapanya selepas dibuli, kemudian ia sampai ke pengetahuan pengurusan tertinggi sekolah hingga menjadi kes polis.
Banyak desas-desas tersebut punca kejadian tersebut tersebar, antaranya senior di tingkatan empat tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk segelintir adik junior mereka.
Apa yang menjadi persoalan, jika tidak berpuas hati dengan beberapa pelajar, kenapa hampir semua pelajar tingkatan dua dipanggil seolah-olah semuanya bersalah dalam hal ini.
Dikatakan selain beberapa adik junior ‘dibantai’ dengan penyangkut baju, sebahagian lagi dikenakan hukuman mencangkung separuh duduk hampir sejam setengah lamanya. Ini boleh memberikan tekanan mental dan emosi kepada pelajar terlibat.
Dalam hal ini, tindakan membuli bukanlah salah satu cara untuk menyelesaikan masalah, sebaliknya mencipta masalah lain yang lebih besar hingga boleh menggadai masa depan pelakunya sebagai pelajar.
Biar apa juga kesalahan yang mangsa buli lakukan sebelum itu, tidak bermakna mereka sewenang-wenangnya diperlakukan sedemikian hingga meninggalkan parut dan bekas di badan, selain mengalami trauma sepanjang hidup.
Tidakkah mereka mengambil iktibar daripada kes-kes buli yang berlaku di sekolah-sekolah lain hingga ada pelajar yang dibuang sekolah akibat tindakan mereka itu.
Banyak lagi cara yang boleh dilakukan termasuk berbincang secara baik bagi menghuraikan segala kekusutan yang timbul agar tidak terus terbuku di dada.
Namun, itulah hakikatnya. Seperti yang diberitahu seorang rakan, jiwa remaja jika tidak dikawal akan memberontak dengan melakukan perkara-perkara tidak sepatutnya dan selepas itu baru muncul kekesalan.
Apa yang dikhuatiri, mangsa buli pula akan bertindak sedemikian kepada orang lain pada masa akan datang demi untuk membalas apa yang mereka terima sebelum itu.
Pihak sekolah perlu segera mengambil tindakan dengan mengadakan kaunseling bagi membolehkan mangsa buli kembali kepada kehidupan normal dengan melupakan apa yang berlaku.