SEPANG – Kerajaan Malaysia akan terus memperjuangkan isu Palestin di setiap pentas antarabangsa bukan sekadar atas faktor agama atau bangsa para penduduknya di situ.
Sebaliknya, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, permasalahan di Palestin lebih kepada isu kemanusiaan sejagat khususnya nilai keadilan untuk mereka.
“Kami berada di sini bukan sebab kami bersekutu dengan rakyat Palestin atas faktor agama atau bangsa namun kerana kami percaya kepada keadilan untuk semua manusia di dunia.
“Dan rakyat Palestin adalah sebahagian daripada masyarakat dunia seperti juga kita semua,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Ulama 2020 di Hotel Movenpick di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Penasihat Khas (Hal Ehwal Agama) Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom yang juga Penasihat Kehormat Induk Program.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, solidariti Malaysia ke atas warga Palestin tanpa mengira latar belakang penduduknya disebabkan mereka juga ada hak kebebasan tersendiri.
“Kita berhutang kepada rakyat Palestin bagi dikembalikan hak dan maruah mereka kerana tiada sesiapa pun layak diburu dari rumah berkali-kali sebagaimana yang berlaku di sana,” tegasnya.
Justeru ujarnya, komuniti dunia yang masih ada nurani bersalah atas layanan buruk Nazi terhadap etnik Yahudi ketika Perang Dunia Kedua lalu, semestinya memiliki perasaan sama.
“Malaysia juga satu-satunya negara membangkitkan isu ini secara jelas. Kekejaman perlu dihentikan dan kita memandang serius kezaliman Israel terhadap warga Palestin,” katanya.
Ismail Sabri berharap persidangan kali ini membuahkan hasil untuk ummah dan semua negara Islam dan mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kekuatan demi menegakkan keadilan. -KOSMO! ONLINE