PETALING JAYA – Ramai wanita kini mengeluh kerana terbeban dalam menguruskan keluarga lebih-lebih lagi apabila segala kerja perlu dilakukan seorang diri.
Situasi tersebut turut dialami seorang wanita bergelar ibu yang berasa tertekan kerana terlalu penat menguruskan anak-anaknya seorang diri disebabkan suaminya kini bekerja jauh dari mereka sekeluarga.
Wanita berkenaan meluahkan perasaan dan bebanannya itu menerusi satu sesi khas yang dijalankan oleh sebuah radio tempatan.
Lebih mengejutkan apabila wanita tersebut mengatakan dia berharap agar cahaya matanya itu tidak wujud sehingga membuatkan penyampai radio bertugas tergamam mendengar kenyataan yang diberikan.
“Ada waktu bila mereka meragam itu buat saya tertekan dan tak mampu nak hadap. Saya rindu zaman bujang saya, sekarang suami kerja jauh, jadi urus anak semuanya saya kena buat seorang diri.
“Kalau tengok anak itu saya rasa lebih baik mereka tak ada lagi atas muka bumi ini, lebih baik tidak ada dari ada, saya sangat tertekan,” luahnya.
Sementara itu, wanita terbabit turut mengakui telah membuat perancangan awal mengenai pengurusan keluarga dengan mengatakan ingin berehat selama dua tahun, namun tidak menyangka dikurniakan rezeki anak dalam masa yang singkat.
Sehubungan itu, rata-rata orang ramai yang mendengarnya berasa simpati dengan keadaan wanita tersebut dan mereka turut memberikan kata-kata semangat selain berharap agar suaminya dapat memberikan sokongan moral sepenuhnya.
“Itu pentingnya peranan suami, pastikan isteri selesa untuk berada jauh dengan suami, boleh urus anak, kalau dia penat, suami perlu ada dekat, usaha untuk bantu, bukan terus tinggal kerja jauh alasan cari duit,” komen Aliah Norhuda.
“Dia tertekan, dengar dari suara dia pun dah tahu, dia penat sebab semua kena urus sendiri, wanita itu perlukan seseorang yang boleh sokong dan faham dia sebenarnya,” ujar Hanna Ibrahim. – KOSMO! ONLINE