JERANTUT – Seekor gajah dewasa yang sering berkeliaran di Kampung Gol di sini sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk berjaya ditangkap dan dipindahkan oleh pihak Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah semalam.
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, operasi memindahkan gajah dianggarkan berusia antara 20 dan 30 tahun itu mengambil masa kira-kira enam jam dengan bantuan dua gajah denak iaitu Kasturi dan Cheri.
“Dalam operasi bermula pukul 8.30 pagi melibatkan 26 kakitangan PKGK dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyaksikan Kasturi dan Cheri menarik gajah jantan itu sejauh 40 meter sebelum dipindahkan ke atas sebuah lori.
“Kejayaan menangkap dan memindahkan gajah liar berkenaan diharap dapat menyelesaikan konflik antara haiwan liar terbabit dengan masyarakat setempat hingga meresahkan penduduk,”katanya di sini hari ini.
Menurut Che Ku Zamzuri gajah liar dewasa turut dipasangkan mikrocip bagi mengumpul data morfologi sebelum dipindahkan ke habitat asalnya di Taman Negeri Terengganu.
Ujarnya, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini PKGK Kuala Gandah berjaya memindahkan 16 ekor gajah liar dari negeri ini ke Johor, Terengganu, Kelantan Perak dan Kedah. – KOSMO! ONLINE