fbpx

Pemburuan ‘ibu pingat emas’ negara berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD B-23 negara memaksa Vietnam bekerja keras sebelum tewas 0-1 pada aksi separuh akhir Sukan SEA Vietnam 2021 di Stadium Viet Tri sebentar tadi. - FAM

PETALING JAYA – Misi besar skuad bawah 23 tahun (B-23) negara mencipta kejutan ke atas juara bertahan, Vietnam pada aksi separuh akhir Sukan SEA Vietnam 2021 tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 di Stadium Viet Tri, Phu Tho sebentar tadi.

Walaupun lebih banyak bertahan, anak-anak buah Brad Maloney masih layak untuk diberi pujian kerana berjaya memaksa tuan rumah bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan dengan mengheret permainan ke masa tambahan.

Biarpun beberapa kali menguji benteng pertahanan tuan rumah, namun aksi di babak pertama jelas lebih memihak kepada Vietnam yang berjaya menyerlahkan kualiti dimiliki.

Selain sering memenangi perebutan bola di udara, pemain-pemain Vietnam juga dilihat cukup selesa ketika melakukan gerakan dengan Nguyen Tien Linh dua kali berjaya menghadirkan situasi cemas tetapi dikecewakan dengan ketangkasan penjaga gol negara, Azri Ghani.

Separuh masa kedua bersambung dengan skrip hampir sama ketika skuad negara lebih banyak berkampung di kawasan sendiri, malah kekerapan hilang bola dari kawalan turut mencetuskan situasi bahaya dan bernasib baik apabila masih berjaya mematahkan serangan pasukan lawan.

Kepantasan pemain negara menjadi aset penting buat Maloney apabila faktor itu berjaya mengekang pendekatan serangan balas yang cuba diatur Vietnam.

Aksi aksi bertambah panas pada minit ke-82 apabila berlakunya pertelingkahan membabitkan pemain daripada kedua-dua pasukan sebelum ia berjaya dileraikan oleh pengadil bertugas.

Ternyata, tuah lebih berpihak kepada tuan rumah apabila Tien Linh berjaya meledak gol kemenangan buat Vietnam menerusi tandukan hasil daripada sepakan percuma pada minit ke-111.

Pada perlawanan akhir di Stadium My Dinh, Hanoi, 22 Mei ini, Vietnam akan menentang Thailand selepas juara Sukan SEA 16 kali itu berjaya mengatasi Indonesia 1-0. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI