SEVILLE – Penantian 50 tahun Rangers untuk menjulang trofi pada pertandingan di Eropah lebur dalam sekelip mata selepas tunduk 5-4 melalui penentuan sepakan penalti dalam aksi final Liga Europa kepada Eintracht Frankfurt di Stadium Ramon Sánchez Pizjuan awal pagi semalam.
Sepanjang tempoh 120 minit permainan, kedua-dua kelab terikat 1-1 dengan Joe Aribo terlebih dahulu membuka jaringan buat Rangers sebelum Rafael Santos Borre kembali menyamakan kedudukan.
Keputusan pengendali Rangers, Giovanni van Bronckhorst memasukkan Aaron Ramsey untuk mengatasi tekanan dihadapi pasukan menjadi sebaliknya apabila bintang dari Wales itu gagal menyempurnakan penalti.
Kejayaan itu juga melonjakkan nama pengendali Eintracht Frankfurt, Oliver Glasner sebagai jurulatih Austria ketiga yang berjaya memenangi pertandingan Eropah selepas Bela Guttmann dan Ernst Happel.
“Kami semua adalah hero, malah tanpa penyokong juga kami tidak mampu melakukannya. Kami percaya yang kami mampu lakukannya, malah kami juga tidak pernah menunjukkan putus asa dan kekal yakin.
“Ia menjadi pengalaman paling getir dalam hidup kami. Ini bukanlah malam saya tetapi ia menjadi malam untuk semua dalam pasukan ini,” kata penjaga gol Eintracht Frankfurt, Kevin Trapp.
Sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan turun dengan misi sama untuk memburu trofi kedua di pentas Eropah ketika kali terakhir Rangers muncul juara pada 1972, manakala Eintracht Frankfurt melakukannya 42 tahun lalu.
“Sukar dipercayai. Ini adalah perlawanan di pentas Eropah ke-13 dan kami tidak pernah kalah satu pun daripadanya. Pemain sudah lakukannya pada musim ini dan saya tidak ada lagi kata-kata,” kata Glasner. – AGENSI