KUALA LUMPUR – Seorang pemandu maut selepas treler yang dipandu hilang kawalan dan merempuh tembok batu pembahagi jalan serta terbalik di selekoh Jalan Duta, dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10.20 pagi ketika treler tersebut membawa muatan dokumen keselamatan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dari arah pusat bandar menghala Plaza Tol, Jalan Duta.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, treler berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tembok batu pembahagi jalan menyebabkannya terbalik.
“Pemandu treler berumur 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan jenazahnya telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Menurutnya, dalam kejadian sama seorang anggota polis turut cedera semasa tugas mengiring treler tersebut.
“Anggota itu mengalami kecederaan retak pada bahu kanan dan pergelangan kaki kiri telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Pada pukul 4 petang, kerja-kerja pengalihan kontena treler telah selesai dijalankan dan laluan dibuka sepenuhnya kepada kenderaan awam,” ujarnya.
Katanya, kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE