HANOI – Johnathan Wong kembali dalam prestasi terbaiknya selepas menghadirkan pingat emas acara membidik emas acara menembak pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 di Pusat Latihan Sukan Nasional semalam.
Meskipun turun dengan tekanan tinggi, atlet kelahiran Kuala Lumpur masih mampu mengatasi perasaan gementar untuk meraih 238.6 mata, sekali gus menewaskan wakil tuan rumah, Tran Quoc Cuong dengan 236.6 mata bagi kategori 10m air pistol lelaki final.
Namun, Jonathan bernasib baik tembakan cemerlang pada awal saingan membantunya menjuarai acara tersebut yang kali terakhir dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Johnathan mengakui, ia satu kepuasan selepas berjaya merampas semula emas selepas gagal meraih sebarang pingat pada edisi 2019 di Filipina.
“Sebenarnya sebelum jejak kaki ke final, perasaan penuh dengan tekanan kerana dalam acara 50 meter pistol, saya gagal beraksi dengan baik.
“Sebab itu, perasaan saya bercampur baur ketika beraksi di final. Cuma ketika itu, saya hanya ikut apa jurulatih kata iaitu fokus pada pertandingan.
“Apapun, saya bersyukur dengan prestasi awal apabila mendahului untuk membantu meraih kemenangan hari ini.
“Saya akui, ia adalah satu kepuasan apabila kembali merampas pingat emas selepas sekadar tempat keempat sewaktu di Filipina,” katanya.
Pingat gangsa menjadi milik penembak dari Indonesia, Muhammad Iqbal Raia Prabowo dengan catatan 214.2.
Dalam pada itu, Jonathan mahu membawa motivasi kemenangan tersebut dalam acara air pistol berpasukan campuran esok dan dijangka bergandingan bersama Nurul Syasya Nadiah Mohd. Ariffin.
“Saya harap kemenangan hari ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan semangat saya terutama dalam acara berpasukan campurna.
“Ini kali pertama saya beraksi dalam kategori tersebut dan saya harap mampu lakukan dengan lebih baik,” ujarnya.