MERSING – Polis Mersing meminta orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran sewa rumah yang diiklankan di laman Facebook.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, nasihat dikeluarkan berikutan dua mangsa telah menjadi mangsa tipu daya individu yang menawarkan tawaran iklan rumah sewa tersebut di dalam kumpulan Anak Mersing Official.
Menurutnya, mangsa pertama yang merupakan pekerja kedai makan kerugian RM1,200 selepas membayar deposit kepada suspek.
“Iklan berkenaan menawarkan rumah sewa di Taman Wawasan Mersing untuk kemasukan pada 19 Mei. Pengadu pertama telah berbincang dengan suspek melalui WhatsApp dan suspek meminta pengadu memasukkan jumlah tersebut dengan segera atas alasan kerana ramai penyewa lain yang mahu menyewa rumah berkenaan.
“Tanpa fikir panjang pengadu telah memasukkan wang melalui mesin deposit tunai kemudian pengadu telah pergi ke rumah berkenaan dan mendapati terdapat sebuah keluarga yang menetap di situ dan memaklumkan mereka tidak membuat sebarang iklan sewa,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Edward Nuing berkata, mangsa kedua adalah seorang doktor yang turut mencari rumah sewa telah membayar RM500 kepada suspek dan apabila datang untuk masuk ke rumah berkenaan mendapati terdapat orang yang menetap di rumah itu dan menyedari bahawa telah ditipu. – KOSMO! ONLINE.