fbpx

The Big LOL Show himpun pelawak, penyanyi Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIBARISI Joanne Kam, Kumar, Jo Kukathas, Kuah Jenhan, Vince Chong, Prakash Daniel dan Yazmin Aziz, The Big LOL Show yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur selama tiga hari pada Jun depan menjanjikan persembahan istimewa yang mencuit hati penonton terutamanya peminat komedi di Asia.

SELEPAS melalui tempoh kemarau selama dua tahun tanpa sebarang acara seni yang dianjurkan secara besar-besaran, LOL Asia kini bersedia untuk kembali dengan acara komedi gilang gemilang menerusi The Big LOL Show.

Dinamakan The Comeback, acara komedi tahunan paling gempak tersebut akan diadakan pada 16, 17 dan 18 Jun depan di lokasi terbaharu bertaraf antarabangsa di Bukit Bintang, Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL).

Kali terakhir The Big LOL Show pernah dipentaskan pada 2019 dan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada peminat-peminat komedi tempatan.

Tahun ini, untuk meraikan pembukaan semula industri kreatif di Malaysia, LOL Asia akan menampilkan pelawak-pelawak serta vokalis terbaik di rantau ini yang terdiri daripada Joanne Kam, Kumar, Jo Kukathas, Kuah Jenhan, Vince Chong, Prakash Daniel dan Yazmin Aziz.

Berbekalkan material baharu, setiap persembahan yang disajikan mempunyai tarikan tersendiri dan menjanjikan pengalaman menarik yang menghiburkan para penonton.

Ujar pelawak stand-up popular Singapura yang juga amat diminati di Malaysia, Kumar, dia menanti selama tiga tahun untuk melalui detik menyeronokkan ini.

“Pengalaman ketika membuat persembahan terakhir di Malaysia pada 2019 amat mengujakan. Saya berasa sangat terharu kerana diberi peluang sekali lagi untuk membuat persembahan bersama barisan artis-artis hebat di The Big LOL Show pada Jun depan.

“Saya amat berterima kasih kepada LOL Asia kerana menjemput saya. Ini merupakan penghormatan yang besar untuk saya kerana akan membuat persembahan bersama rakan-rakan pelawak serta penyanyi terkemuka Malaysia yang turut saya minati.

“Saya pasti acara ini akan menghangatkan Zepp KL dan memberi impak besar bukan sahaja kepada para penonton tetapi pastinya kami yang membuat persembahan pun akan turut gelak ketawa bersama mereka,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia dan Penerbit The Big LOL Show, Rizal Kamal, acara berkenaan akan menjadi pentas terbesar untuk artis-artis terlibat membuat persembahan selepas negara memasuki fasa peralihan endemik.

“Barisan artis yang terlibat bagaikan impian yang menjadi nyata. Saya tidak sabar untuk melihat penonton menikmati persembahan komedi pertama di lokasi baharu bertaraf antarabangsa, Zepp KL.

“Acara ini dinamakan The Comeback atas beberapa faktor tetapi antara sebab utamanya, ini akan menjadi pentas terbesar untuk artis terlibat membuat persembahan bersama setelah negara kita memasuki fasa peralihan endemik. Di LOL Asia, kami sangat berbangga kerana dapat mengumpul artis-artis ini untuk menghibur para penonton di Malaysia setelah sekian lama mereka tidak disajikan dengan acara komedi berskala besar seperti ini sepanjang pandemik.

“Kumar, Joanne Kam dan Prakash sudah bersedia untuk menghiburkan kita semua dengan komedi stand-up dengan cara tersendiri. Untuk semua yang mengenali Jo Kukathas, dia akan berganding bahu bersama Kuah Jenhan untuk membawa semula karakter YBeeee yang begitu disayangi ramai dalam sketsa mereka,” jelas Rizal.

Para penonton turut diberi peluang untuk menikmati acara komedi muzikal daripada Vince Chong dan Yazmin Aziz yang berbakat dalam produksi berasaskan media sosial.

“Saya tidak sabar menonton penampilan sulung Yazmin Aziz, finalis Big Stage 2022 dalam persembahan teater secara langsung dan juga Kumar yang akan kembali ke Malaysia untuk menghiburkan kita semua dengan aksi lawaknya.

“Harapan kami di LOL Asia, supaya para peminat komedi tanah air akan datang dan menyokong acara ini. Ini seakan surat cinta kami kepada semua peminat setelah lebih dua tahun menyepi disebabkan pandemik yang melanda,” ujarnya.

LOL Asia juga bertanggungjawab dalam penganjuran Konsert Endemik Search dan merancang secara aktif persembahan berskala besar dengan kolaborasi bersama Zepp KL lantas menyumbang ke arah pembukaan semula ekonomi kreatif di Malaysia.

Tiket untuk The Big LOL Show mula dijual sejak 13 Mei dengan harga bermula RM200. Untuk maklumat lanjut berkaitan tiket boleh melayari laman web lolasia.bigtix.io.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI