LEBIH empat dekad menumpahkan bakat menggubah lagu untuk industri muzik tanah air, maestro muzik legenda S. Atan wajar diberi penghargaan atas jasanya dalam bidang nyanyian tempatan.
Selain kehandalannya menggubah lagu-lagu hit bercorak Melayu asli, S. Atan atau nama lengkapnya Hashim Said, 73, juga boleh dianggap sebagai ‘bapa’ lagu-lagu hari raya.
Mana tidaknya, hampir 60 peratus lagu-lagu lebaran malar segar yang masih didengari sehingga ke hari ini terhasil daripada kebijaksanaan S. Atan sendiri dan dialunkan oleh penyanyi-penyanyi handalan tanah air.
Sebut sahaja lagu raya seperti Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman, Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah) dan Hari Mulia (Datuk Sheila Majid), lagu-lagu tersebut masih terpahat dan mengundang rasa ‘suasana’ lebaran setiap kali tibanya bulan Syawal.
Pada 14 Mei lalu bertempat di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), sebuah konsert tribut istimewa dianjurkan khas untuk menghargai jasa S. Atan dalam mewarnai industri muzik tempatan dengan lagu-lagu raya yang menggamit memori.
Konsert Cahaya Aidilfitri – A tribute to S. Atan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dengan pimpinan konduktor, Ahmad Muriz Che Rose turut diserikan dengan persembahan daripada tiga penyanyi handal Malaysia iaitu Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay dan Azlina Aziz.
Malam penuh gemilang yang turut disaksikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali tempoh hari dihadiri lebih 800 orang penonton yang memenuhi ruang tempat duduk di dalam dewan.
Mengungkap perjalanan kerjaya seninya sebagai penggubah lagu cukup luar biasa, S. Atan terharu dan tidak menyangka dirinya diberi penghargaan oleh DFP memainkan lagu-lagu raya ciptaannya dalam sebuah konsert khas sempena Aidilfitri.
“Alhamdulillah. Saya bersyukur dan tidak sangka diberi penghargaan dalam bentuk sebuah konsert. Bagi saya konsert tribut ini satu penghormatan yang cukup tinggi.
“Sebagai seorang karyawan muzik, apabila sesebuah karya muzik dipersembahkan dalam bentuk simfoni, perkara itu menjadi satu pencapaian yang cukup besar,” katanya.
Pembuka tirai malam konsert dihiburkan dengan medley lagu-lagu raya seperti Selamat Hari Raya, Bila Takbir Bergema, Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri yang diberi susunan baharu oleh Ilham Subri.
Pentas kemudiannya menyaksikan Jamal Abdillah membuka pentas dengan nyanyian pertama menerusi lagu Salam Aidilfitri. Dengan persembahan bersahaja, Jamal turut memukau penonton dengan kehebatan vokalnya yang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Bagi Jamal sendiri, beliau sememangnya sangat mengagumi bakat S. Atan yang disifatkan mempunyai sentuhan magis.
“Secara peribadi saya mengenali S. Atan sebagai seorang pencipta lagu yang tegas. Orangnya ketika bekerja di dalam studio memang sangat serius.
“Saya sangat terharu dan gembira apabila dapat menyanyikan lagu raya ciptaan S. Atan iaitu Salam Aidilfitri. Lagu tersebut memang istimewa dan punya keunikan tersendiri,” katanya.
Menerusi segmen bersama Jay Jay, penonton dihiburkan dengan lagu Cahaya Aidilfitri, Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan duet bersama Azlina Aziz menerusi lagu Inang Aidilfitri.
Ujar Jay Jay, dia sendiri mengakui industri seni muzik tempatan kini semakin ketandusan penggubah lagu setaraf dengan S. Atan dalam menghasilkan lagu-lagu raya yang boleh menangkap halwa telinga pendengar.
“Lagu-lagu raya hari ini jauh berbeza dengan lagu-lagu raya yang dihasilkan sebelum ini sehingga dianggap malar segar.
“Sejujurnya belum ada mana-mana komposer baharu hari ini yang berjaya mencipta lagu raya setanding lagu-lagu terdahulu,” ujarnya.
Menerusi persembahan oleh penyanyi bersuara mantap, Azlina Aziz, penonton dibuai dengan koleksi lagu-lagu raya seperti Hari Mulia, Indahnya Beraya Di Desa dan Joget Hari Raya duet bersama Jamal Abdillah.
Secara keseluruhan, Konsert Cahaya Aidilfitri – A Tribute to S. Atan menjadi sebuah konsert bersejarah kerana buat julung kalinya diadakan bagi mengangkat karya bertemakan hari perayaan oleh seorang legenda terulung.
Betul kata Azlina Aziz ketika berseloroh di atas pentas, sudah tiba masanya S. Atan wajar diberi penghargaan berupa pangkat ‘Datuk’ atas hasil kerjanya yang akan kekal terpahat dalam memori semua orang buat selama-lamanya.