fbpx

Duo petanque pasang impian ke Olimpik 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
THAHIRA Tasnim (kanan) dan Ain Syuhada mencipta sejarah baharu sukan petanque negara apabila meraih pingat perak Kejohanan Dunia 2022. - MBSF

GANDINGAN petanque wanita negara, Nur Ain Syuhada Mohd. Asri dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz mengimpikan kejayaan di pentas lebih tinggi selepas menempa sejarah pada Kejohanan Dunia 2022.

Kedua-dua atlet berusia 25 tahun itu mencipta sejarah baharu sukan petanque negara apabila meraih pingat perak buat kali pertama di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Karslunde, Denmark baru-baru ini.

Bagi Thahira Tasnim, dia berharap dapat menaiki podium di pentas tertinggi seperti Sukan Olimpik sekiranya sukan petanque dapat dipertandingkan suatu hari nanti.

“Kami pernah pasang impian ke Sukma (Sukan Malaysia) bersama-sama dan sudah tercapai. Sekarang kami pun dah menang bersama-sama di Kejohanan Dunia.

“Kalau petanque ada dianjurkan di Olimpik, memang kami sasarkan untuk bermain di pentas tertinggi seperti itu,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa lalu.

SKUAD petanque negara berjaya meraih satu pingat perak dan satu gangsa pada Kejohanan Dunia 2022. – MBSF

Dua pemain yang berasal dari Bandar Muadzam Shah, Pahang itu meraih pingat perak selepas tewas kepada gandingan Sepanyol yang juga bekas juara dunia dengan keputusan 2-13 di perlawanan akhir Kejohanan Dunia 2022.

Mengulas lanjut, Ain Syuhada yang turut memenangi gangsa dalam acara individu wanita, menyifatkan keserasian mereka selepas bersama sejak berusia 11 tahun adalah kunci utama kepada kejayaan tersebut.

“Kami juga mendapat sokongan daripada para penyokong di sana. Bila kami tak menjadi, mereka tepuk tangan, jerit ‘Malaysia Boleh’, ‘Malaysia Bravo’ untuk menaikkan semula semangat kami.

“Kami cuma sasarkan peringkat suku akhir tetapi dapat masuk final dan menang perak adalah bonus. Saya cuba yang terbaik untuk Malaysia kerana ini adalah tanggungjawab dan amanah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI