fbpx

Anggota JPJ menyamar penumpang cekup 4 pemandu kereta sapu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Misuari (dua kanan) melihat kereta sapu yang disita di Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Panji hari ini. FOTO ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Penyamaran empat anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sebagai penumpang kereta sapu di Terminal Bas Lembah Sireh di sini hari ini berjaya menahan empat pemandu  di kawasan tersebut.

Keempat-empat lelaki yang memandu kereta jenis Proton Persona, Proton Iswara, Perodua Bezza dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar Kubang Kerian serta di depan Pejabat JPJ Panji di sini.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, anggota JPJ membuat penyamaran itu selepas satu video pertengkaran antara pemandu e-hailing dan pemandu kereta sapu tular di media sosial kelmarin.

Menurutnya, dalam operasi itu, pemandu kereta sapu Proton Persona bertindak melarikan siri sejauh 11 kilometer dari Pejabat JPJ di Panji ke bulatan Pasir Pekan dekat Tumpat selepas menurunkan salah seorang anggota JPJ yang melakukan penyamaran.

“Dalam kejadian itu, pemandu itu bertindak agresif sehingga hampir menyeret anggota JPJ dan melarikan diri ke bulatan Pasir Pekan sebelum suspek ditahan di kawasan tersebut.

“Tiga lagi pemandu kereta sapu terus ditahan selepas mereka menurunkan anggota JPJ yang menyamar di beberapa lokasi di Kubang Kerian,” katanya pada sidang akhbar Ops Sapu di Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Panji di sini hari ini.

Menurut Mohd. Misuari, siasatan awal mendapati, kegiatan kereta sapu sudah beroperasi selama lebih lima tahun di Terminal Bas Lembah Sireh dan ia semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Katanya, kegiatan itu juga dipercayai menjejaskan pendapatan pemandu teksi dan e-hailing yang berdaftar secara sah dengan pihak berwajib. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI