fbpx

Ismail Sabri bincang hubungan dua hala Malaysia dan Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika menerima kunjungan Vivian di pejabatnya semalam.

PUTRAJAYA – Beberapa perkara melibatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura telah dibincangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Luar republik itu semalam.

Perbincangan tersebut berlangsung dalam rangka kerja lawatan rasmi Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan selama tiga hari ke negara ini yang bermula Selasa lalu.

Ismail Sabri berkata, beliau telah menerima kunjungan tersebut di pejabatnya di sini semalam serta banyak perkara telah dibincangkan antara mereka antaranya berkaitan sesi pemukiman pemimpin-pemimpin Malaysia dan Singapura ke-10.

“Turut dibincangkan adalah hubungan dua hala, pelaburan, pelancongan, rentas sempadan, dan perjanjian Air Sungai Johor 1962.

“Perbincangan turut menyentuh tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dan projek Sistem Transit Pantas (RTS) aliran Johor Bahru-Singapura selain isu maritim juga ruang udara kedua-dua negara,” katanya menerusi satu perkongsian di laman media sosial hari ini.

Dalam perkongsian tersebut Ismail Sabri turut menyatakan harapan beliau agar hubungan dua hala Malaysia dan Singapura terus kukuh demi kemajuan bersama.

Terdahulu, Kosmo! Online pada Isnin lalu melaporkan tentang lawatan kerja menteri luar republik tersebut ke Malaysia bermula Selasa bagi bertukar pandangan berkenaan pelbagai isu kepentingan bersama kedua-dua negara.

Memetik kenyataan oleh Wisma Putra, rangka kerja Vivian turut melibatkan kunjungan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Shah yang juga merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, beliau juga akan berjumpa Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang pernah ditemuinya ketika lawatan kerja ke negara ini pada 23 Mac tahun lalu.

Tidak ketinggalan, beliau juga akan bertemu dengan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI