PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambahbaik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual serta Buli di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Majlis penyerahan watikah lantikan kepada Habibah dan ahli jawatankuasa lain diserahkan sendiri Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin semalam.
Radzi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, jawatankuasa khas ini dianggotai oleh lapan individu yang berpengalaman luas dan mempunyai latar belakang profesion berbeza.
“Antaranya mantan pegawai kanan kerajaan, pensyarah, kaunselor, pegawai undang-undang serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).
“KPM ingin merakamkan terima kasih atas kesediaan anda untuk bersama-sama membantu kementerian ini,” katanya.
Katanya, ahli lain dilantik termasuk Datuk Sutinah Sultan, Datuk Sulaiman Wak, Prof. Datin Mariani Md. Nor, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Aminuddin Awang, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Prof. Madya (Kehormat) Datuk Dr. Sundramoorthy dan Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan. – KOSMO! ONLINE