fbpx

Beras masih perlukan AP untuk dibawa masuk negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Beras merupakan bahan makanan yang masih lagi memerlukan permit import (AP) biarpun kerajaan memutuskan untuk memansuhkan AP bagi komoditi agromakanan semalam.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, pemansuhan AP sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam melibatkan beberapa komoditi agromakanan tertentu.

MAFI memberitahu, komoditi agromakanan tersebut ialah kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair.

“Bagaimanapun, AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuat kuasa. Keputusan pemansuhan AP ini adalah sebagaimana diputuskan oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri semalam mengumumkan kerajaan memutuskan untuk memansuhkan AP bagi komoditi agromakanan bagi memastikan bekalan dan sekuriti makanan negara mencukupi.

Dalam pada itu, MAFI berkata, walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agromakanan daripada luar negara, pengimport masih perlu mempunyai import permit (IP) bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu-pintu masuk negara.

“Ini untuk memastikan kawalan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas daripada penyakit dan perosak serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI