SEPANG – Polis berjaya merampas 28 kilogram dadah jenis syabu yang disorokkan dalam ketuhar elektrik dan pembesar suara dalam serbuan di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 dan 11 Mei lalu.
Dalam serbuan itu, dadah berkenaan ditemui dalam 28 bungkusan teh cina dan plastik aluminium yang disumbat dalam peralatan elektrik berkenaan.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abdul Rahman berkata, dadah berkenaan cuba diseludup ke Sabah dan Sarawak menggunakan perkhidmatan syarikat kurier tempatan.
Beliau berkata, menerusi rampasan pertama pada 8 Mei lalu, pihaknya berjaya merampas 3 kg dadah yang cuba diseludup ke Tawau, Sabah.
“Bagi kes kedua, sebanyak 25 kg dadah dirampas dipercayai cuba diseludup ke Kuching, Sarawak dan Tawau, Sabah.
“Secara keseluruhan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA berjaya merampas keseluruhan 56.07 kg syabu bernilai RM2.18 juta sejak Januari lalu hingga kini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, pihaknya mendapati, sindiket cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan syarikat kurier tempatan dengan memalsukan butiran penghantar dan penerima.
Imran berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada pembabitan pekerja syarikat-syarikat kurier dalam aktiviti itu namun, ia masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE