PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ebit Lew kini meneruskan misi dakwahnya di Singapura.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Ebit meluahkan rasa sebak apabila dapat bertemu Abang Long Fadil bersama sahabat-sahabatnya di sana.
“Ziarah kasih sayang dan berkongsi nasihat dengan mereka semua. Berat-berat ujian hidup mereka. Ramai betul kawan mereka juga minta doa dan nasihat.
“Di sebelah malam, dapat jumpa kawan di jalanan di sana. Ada satu kumpulan, masing-masing sudah banyak kali keluar masuk penjara sebanyak tujuh kali. Ada disebabkan kes gaduh dan lain-lain,” katanya dalam satu hantaran hari ini.
Ebit berkata, beliau terharu diberikan rezeki untuk berjumpa orang yang baik dan rindukan kebaikan ketika sedang diuji Allah.
“Masa berdoa semua menangis bersama-sama. Ya Allah berjuta rahmat kau beri pada mereka berilah sedikit pada diriku, kabulkanlah doa-doa dan hajat mereka yang baik-ebit,” doa Ebit. – KOSMO! ONLINE