PETALING JAYA – Hasrat Malaysia untuk meraih pingat emas acara badminton berpasukan lelaki Sukan SEA Vietnam 2021 tidak kesampaian selepas tewas 0-3 kepada Thailand pada aksi final di Gimnasium Bac Giang, Hanoi sebentar tadi.
Begitupun, pujian harus diberikan kepada barisan muda skuad badminton negara kerana masih berjaya melangkah ke perlawanan akhir walaupun tiada sasaran diletakkan untuk acara berpasukan.
Biarpun pingat perak, namun kejayaan itu pastinya mampu membakar semangat para pemain untuk memberikan prestasi yang lebih baik sebaik acara individu membuka tirainya bermula esok.
Dalam aksi final sebentar tadi, pemain perseorangan utama negara, Kok Jing Hong berdepan kesukaran untuk menangani kemampuan juara Terbuka Jerman, Kunlavut Vitidsarn apabila tewas 10-21, 15-21.
Harapan Malaysia untuk kembali menyamakan kedudukan tidak berhasil apabila gandingan Man Wei Chong-Kai Wun Tee juga tunduk kepada beregu Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Nanthakarn Yordphaisong 20-22, 20-22.
Perseorangan kedua negara, Lee Shun Yang memberikan sinar harapan buat skuad negara apabila memenangi set pertama 21-16 ke atas Khosit Phetpradab dalam perlawanan berikutnya.
Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal diteruskan apabila Shun Yang tewas dua set seterusnya 13-21, 19-21 sekali gus mengesahkan kemenangan 3-0 Thailand ke atas skuad negara. – KOSMO! ONLINE