fbpx

Buat apa keluar memo kalau mahu protes ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jeffrey Ng

MELAKA – Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menyangkal penutupan dua hari sebuah kilang pengeluar ayam di Jasin mempunyai kaitan dengan tindakan protes berhubung subsidi.

Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah menerima aduan atau mendengar desas-desus mengenai sebarang gerakan protes membabitkan pengusaha ladang ayam.

Katanya, dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan penutupan kilang tersebut sebagai tindakan protes susulan peladang ayam lambat diberikan subsidi oleh kerajaan sama sekali tidak berasas.

“Kalau nak buat protes, kenapa pula kilang itu keluarkan notis atau surat pekeliling kepada orang ramai memaklumkan penutupan operasi selama dua hari?.

“Dakwaan kononnya penutupan kilang itu adalah tindakan protes memang tidak betul, sebaliknya situasi itu amalan biasa yang dilakukan pihak pengurusan ladang untuk menyelesaikan isu ternakan atau tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai dakwaan notis penutupan operasi dua hari sebuah kilang pengeluar ayam di Jasin adalah tindakan protes, pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Hari ini tular satu memo yang dikeluarkan sebuah ladang ternakan di Merlimau, Jasin bertarikh 17 Mei kepada pembekal.

Dalam memo itu pihak pengeluar memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ayam-ayam hidup di ladang mengalami pertumbuhan yang lambat dan berat badan tidak mencapai kadar yang sepatutnya ditangkap.

Jeffrey berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan kerajaan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menyelesaikan sebarang isu.

“Di bawah FLFAM kita mempunyal 16 persatuan di seluruh negara dengan melibatkan kira-kira 2,400 pengusaha ayam.

“Untuk apa kami semua nak buat protes kerana ayam adalah barangan di bawah harga kawalan, kita sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan jika mempunyai sebarang masalah termasuklah isu kesulitan dalam melengkapkan dokumentasi pemberian subsidi,”katanya.

Tambahnya lagi, perkataan protes itu tidak sepatutnya timbul kerana hanya sebuah kilang pengeluar ayam yang ditutup di negeri ini dan selebihnya masih beroperasi seperti biasa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI