SHAH ALAM – The Melvins Resources Sdn. Bhd. (The Melvins Resources) pengeluar produk kosmetik berjenama Kekasih, mengunjurkan perolehan jualannya pada tahun ini bakal mencecah kepada RM11 juta.
Pengasas bersama syarikat, Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin berkata, pihaknya optimis untuk mencapai nilai sasaran jualan berkenaan bersandarkan kepada faktor sambutan yang menggalakkan daripada lebih 5,000 pengedar dan stokis di seluruh negara.
Lebih menarik, perolehan jualan sejak syarikat mula beroperasi Mei tahun lalu adalah sebanyak RM10 juta merupakan satu pencapaian terbaik buat syarikat yang turut diterajui oleh tiga rakan kongsi yang merupakan adik beradiknya juga.
“Meskipun berdepan dengan persekitaran ekonomi sukar dalam pasca Covid-19, syarikat masih berdiri kukuh dengan sokongan daripada pelanggan terhadap empat produk keluarannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk terbaharu syarikat, Maskara (Hijab Mata Kekasih) di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, The Melvins Resources memperkenalkan krim bedak asas, matte bibir dan blusher pada harga jualan antara RM39 hingga RM49 seunit.
Siti Nur Syafiqa menerangkan, strategi pemasaran unik seperti pemberian hadiah saguhati bagi pembelian produk serta melancarkan produk kosmetik untuk bilangan terhad membuatkan ramai pelanggan teruja membuat koleksi peribadi masing-masing.
Tambah beliau, syarikat yang telah berjaya menjual lebih daripada 9,000 matte bibir itu bercadang untuk memperkenalkan dua lagi produk baharu pada masa akan datang.
Siti Nur Syafiqa menjelaskan, pihaknya telah berjaya menawarkan peluang perniagaan berpotensi khususnya suri rumah, ibu tunggal, graduan dan pelajar serta mereka yang baru diberhentikan kerja.
“Lebih daripada 50 peratus pengedar aktif kami kini terdiri daripada golongan suri rumah,” jelasnya.