fbpx

Ringgit jatuh, rakyat terasa bahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Pada 17 April lalu, nilai AS$1 bersamaan RM4.24, tetapi hanya dalam tempoh sebulan iaitu pada 17 Mei lalu, nilai ringgit merosot kepada RM4.39 berbanding AS$1.

Dalam tempoh itu juga, nilai ringgit dilihat turut menyusut walaupun sedikit berbanding mata wang beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Singapura dan Indonesia.

Persoalannya, mengapa nilai ringgit terus merosot lebih-lebih lagi ketika harga sawit dan minyak ketika ini agak tinggi? Tidak tahulah kalau kenaikan harga komoditi itu telah menyebabkan permintaan terhadapnya terjejas sehingga memberi kesan kepada nilai ringgit.

Atau apakah ia disebabkan sentimen pasaran atau keyakinan pelabur yang rendah terhadap negara?

Penulis bukanlah seorang pakar untuk merungkai persoalan tersebut. Mereka yang arif pasti ada jawapan dan tahu bagaimana untuk menangani situasi tersebut.

Apa yang pasti, kejatuhan nilai ringgit memberi kesan kurang baik kepada rakyat keseluruhannya kerana ia membawa maksud semua barangan import akan menjadi lebih mahal.

Secara jujurnya, Malaysia mengimport banyak produk daripada luar untuk memenuhi keperluan di dalam negara.

Pada 2015, nilai import makanan negara misalnya membabitkan bijirin, rempah, teh, koko, bawang, gandum, ubi kentang dan pelbagai lagi mencatat angka sebanyak RM45.3 bilion dan jumlah itu meningkat kepada RM55.4 bilion pada tahun 2020. Itu baru kos import makanan, belum lagi import bahan-bahan lain.

Suka atau tidak kita terpaksa mengimport semua komoditi makanan tersebut bagi memenuhi keperluan semasa di dalam negara, manakala rakyat pula terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan barang keperluan yang diimport itu.

Lebih mendukacitakan, harga produk makanan yang dihasilkan di dalam negara meliputi ternakan seperti ayam, kambing, daging lembu, telur serta hasil pertanian lain turut melambung kerana kos penghasilannya menjadi lebih mahal atas alasan bahan makanan untuk ternakan serta baja terpaksa dimport dari luar negara.

Selain kesan terhadap rakyat, penyusutan ringgit juga sebenarnya turut memberi impak kepada pelabur asing kerana mereka pasti bimbang pendapatan yang bakal ‘dibawa pulang’ hilang dari segi nilai.

Kita tidak nafikan penurunan nilai ringgit ini juga sebenarnya memberi kesan positif terhadap beberapa sektor seperti pelancongan kerana ia boleh merancakkan industri tersebut kalau kena caranya. Secara teori, kelemahan ringgit akan menarik lebih ramai pelancong kerana mereka boleh berbelanja dengan kos yang lebih murah, manakala harga produk-produk eksport kita pula akan menjadi lebih kompetitif.

Bagaimanapun, usaha-usaha untuk mengatasi penyusutan nilai ringgit ini daripada berterusan perlu segera ditangani kerana, permasalahan yang berpunca daripada masalah ini kelak akan meleret-leret bermula dengan kenaikan harga barangan yang membuatkan rakyat tertekan sehinggalah ia mungkin menjadi penyebab berlakunya masalah sosial tidak terjangka.

Setidak-tidaknya jemaah haji dari Malaysia yang akan menunaikan ibadat haji di Tanah Suci tidak lama lagi dapatlah membeli lebih sikit barang untuk dibawa pulang walaupun di dalam poket hanya ada RM1,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI