DIANGKAT ke layar perak daripada kisah benar, KKN di Desa Penari garapan pengarah Awi Suryadi mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan para penonton bukan hanya di Indonesia bahkan Malaysia.
Ramai dalam kalangan audiens meremang bulu roma saat duduk di bangku penonton di dalam panggung menikmati ‘angker’ karya berkenaan sehingga difahamkan, ada antara mereka yang dirasuk.
Perkara tersebut sekali gus mencipta situasi mencemaskan dalam sebuah panggung wayang di ibu negara dan beberapa negeri lain yang tidak didedahkan lokasinya secara spesifik.
Kejadian sebenar
Persoalannya di sini, seram sangatkah KKN di Desa Penari sehingga menjadi perbualan ramai peminat? Buat penulis yang berkesempatan berkunjung ke panggung wayang minggu lalu, naskhah berkenaan mudah ‘mencengkam’ jiwa penonton kerana tunjangnya, ceritanya diangkat daripada kisah benar.
Dari segi naratif, filem yang diterajui Tissa Bianni dan Adinda Thomas tersebut tidaklah terlalu seram, namun terasa seperti setiap babak yang dicernakan begitu dekat dengan realiti dan ‘telinga’ kerana diadaptasi daripada kisah yang benar-benar pernah terjadi.
Sungguhpun begitu, dari segi teknikal terutama sinematografi dan efek bunyi, filem berkenaan benar-benar berada pada kelas tersendiri.
Kadang-kadang, satu babak perjalanannya tidaklah terlalu meremangkan bulu roma, namun disebabkan bantuan atau permainan efek bunyi dan sinematografi membuatkannya berjaya ‘ditelan’ audiens.
Efek bunyi, sinematografi
Secara peribadi, itulah yang ditonjolkan dalam KKN di Desa Penari dan terlanjur bercakap tentang kualiti berkenaan, memang tidak dinafikan filem terbabit merupakan antara yang terbaik dari negara seberang berdasarkan aspek disebutkan singgah ke Malaysia tahun ini.
Sementara itu, dari segi kualiti lakonan, barisan pelakon yang menjayakan karakter utama iaitu Nur (Tissa Biani), Bima (Achmad Megantara) dan Aghniny Haque (Ayu) telah melunaskan peranan mereka dengan sebaik mungkin.
Penekanan
Cuma buat penulis secara peribadi, watak Ayu kurang diberikan penekanan sedangkan kalau diikutkan jalan cerita sebenar, dialah yang menjadi tunjang cerita sehingga membuatkan orang ramai tidak senang duduk.
Secara keseluruhannya, KKN di Desa Penari merupakan sebuah filem seram Indonesia yang mempunyai kualiti tersendiri membuatkan penonton tidak senang duduk di panggung wayang.
Buat segelintir orang, barangkali tahap keseraman yang ditonjolkan kurang ‘menyengat’ dan bagi kelompok penonton lain, filem berkenaan memang sangat ‘angker’ sehingga membuatkan mereka senang dirasuki.
Sedikit sinopsis, KKN di Desa Penari mengisahkan tentang enam orang pelajar yang menjalankan aktiviti khidmat masyarakat di sebuah perkampungan. Mereka dinasihatkan supaya tidak melintasi satu sempadan.
Jika itu berlaku, malapetaka akan menimpa mereka dan menjalin hubungan dengan jin. Bernama Badarawuhi, jin tersebut merupakan seorang penari atau penunggu hutan.