LONDON – Pengerusi Persatuan Pemandu Grand Prix (GPDA), Alex Wurz bersetuju dengan tindakan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menetapkan peraturan berkaitan isu pemandu memakai barangan kemas ketika berlumba.
Pengarah perlumbaan, Niels Wittich sebelum Grand Prix (GP) Miami baru-baru ini menegaskan pelumba tidak dibenarkan memakai barangan kemas seperti rantai leher dalam mana-mana kejohanan.
Bagaimanapun, juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton memberikan respons negatif sebelum pemandu Mercedes itu bersetuju untuk menanggalkan anting-anting dipakainya pada GP Miami.
Wurz yang sering terlibat dalam program-program berkaitan keselamatan pemandu percaya peraturan ditetapkan oleh FIA sebenarnya adalah munasabah.
“Ia satu peraturan dengan alasan yang betul. Mungkin (FIA) boleh melakukannya dengan pendekatan yang berbeza bagi menyampaikan mesej sebenar kepada para pemandu,” katanya.
Difahamkan, Presiden FIA, Mohammed bin Sulayem mahukan peraturan itu dipatuhi terutama pemandu seperti Hamilton yang banyak memakai barang kemas pada anggota badannya ketika berlumba.
Pemandu berusia 37 tahun itu diberikan pengecualian sebanyak dua perlumbaan bermula GP Sepanyol hujung minggu ini dan GP Monaco pada 29 Mei ini selepas memberi alasan dia tidak boleh mengeluarkan dua subang yang dipakainya ketika ini.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan Hamilton yang mahu diberikan pengecualian memakai barangan kemas hingga penamat musim dan dikatakan bertekad untuk tidak mempedulikan peraturan berkenaan walaupun bakal berdepan denda dan hukuman tertentu. – AGENSI