fbpx

Bot tunda pukat di luar kawasan ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah bot yang ditahan APMM Pulau Pinang pada kedudukan 4.6 batu nautika barat Kuala Sungai Peinang dekat George Town semalam.

GEORGE TOWN – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan Maritim Malaysia (APMM) dipercayai ketika sedang menunda pukat di kawasan larangan pada kedudukan 4.6 batu nautika barat Kuala Sungai Pinang dekat sini malam tadi.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot ronda APMM berjaya mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan gelap disyaki sedang menjalankan operasi menangkap ikan menggunakan pukat tunda kira-kira pukul 10.55 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan yang berpangkalan di Batu Maung itu dikendalikan tekong warga tempatan berusia 51 tahun bersama tiga kru warga Indonesia berumur antara 44 hingga 55 tahun.

“Bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Bot berkenaan bersama tekong dan tiga kru yang mempunyai permaustatin tetap kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya turut menyita semua peralatan dan juga hasil tangkapan ikan campur dengan anggaran 100 kilogram.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.” tegasnya.

Justeru tambah beliau, orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI