PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) iltizam untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna bagi memacu agenda pelestarian alam sekitar.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia juga selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 – 2030.
“Konsep kepenggunaan lestari termasuk penggunaan beg alternatif sangat digalakkan. Kita akui pembentukan budaya akan mengambil masa yang lama.
“Justeru, susulan Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam
Sekitar (MEXCOE) semalam, kita setuju untuk terus mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan akan mengenakan caj pencemaran sebagai langkah awal,” katanya dalam hantaran Facebook di sini hari ini.
Beliau berkata, sehingga Disember 2021, tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Johor telah melaksanakan inisiatif tersebut dan kutipan caj pencemaran ini dibelanjakan bagi tujuan pelestarian alam sekitar dan program kesejahteraan rakyat.-KOSMO! ONLINE