PUTRAJAYA – Tiga cadangan pembaharuan berkaitan governans, integriti dan antirasuah akan dibentangkan pertimbangan kerajaan di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) sebelum di Mesyuarat Jemaah Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, persetujuan ini dicapai dalam pertemuan dengan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC). Datuk Seri Mohd. Sallehhuddin Hassan bersama pegawai GIACC dan Biro Pengaduan Awam (BPA).
Beliau berkata, tiga cadangan yang dibentangkan dalam pertemuan itu iaitu Hala Tuju Dasar berhubung Penggubalan Rang Undang- Undang (RUU) Sumbangan Politik.
Dua lagi katanya, status terkini Pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dan Cadangan Pembangunan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance).
“Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah status terkini RUU Ombudsman yang dicadangkan untuk dibentangkan kepada Kerajaan pada tahun ini.
“Bagaimanapun, saya meminta penelitian diberikan kepada aspek dasar penubuhan Ombudsman tersebut bagi memastikan keberkesanan undang-undang berkaitan Ombudsman kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Junaidi berkata, beliau juga menyarankan supaya hebahan berhubung usaha membanteras rasuah terus dipertingkat semua agensi kerajaan.
“Ia bertujuan bagi membentuk persepsi positif terhadap keseriusan kerajaan dalam membendung rasuah, sekali gus berupaya meningkatkan prestasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE