fbpx

Awal Ashaari tak langgar palang, hanya alih guna tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awal Ashaari.

PETALING JAYA – “Saya alih palang dengan tangan sendiri, bukan dengan kekerasan atau langgar dengan kereta.”

Demikian pengakuan pengacara dan pelakon, Awal Ashaari berhubung tuduhan melakukan perbuatan khianat merosakkan palang di pintu masuk sebuah kawasan perumahan.

Ujar pemilik nama penuh Ahmad Awaluddin Ashaari, 40, kejadian tersebut tercetus selepas dia dihalang untuk memasuki rumah yang sudah 15 tahun dimilikinya hanya disebabkan terdapat tunggakan bayaran yuran fasiliti dengan pihak pengurusan perumahan berkenaan.

“Perkataan khianat agak keras tetapi saya terima kerana akta. Semuanya berlaku ketika saya ke rumah lama untuk mengambil barang tetapi kad akses saya disekat kerana tidak membayar yuran pengurusan.

“Saya cuba minta budi bicara untuk masuk tetapi masih dihalang. Kata mereka, perlu bayar dulu barulah dibenarkan masuk,” katanya dalam satu siaran langsung malam tadi.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tuduhan kekerasan yang dilemparkan kepadanya, bekas hos Melodi itu bertegas, dia tidak melanggar palang tersebut seperti didakwa.

“Isu tersebut sebenarnya berpunca sebab tiada budi bicara atau tolak ansur oleh pihak pengurusan perumahan.

“Daripada detik itu, saya ambil tindakan dengan alih sedikit palang dengan tangan sendiri dan tidak dilanggar dengan kereta sehingga rosak seperti laporan berita.

“Jadi, itulah tindakan saya dan mungkin khilaf sendiri kerana tidak bayar yuran pengurusan. Satu hal yang saya terkilan ialah itu memang rumah saya dan kesal sebab tiada tolak ansur,” ujarnya.

Tambah suami kepada pelakon, Scha Alyahya itu, kejadian tersebut semakin rumit apabila mendapat tahu pihak pengurusan membuat laporan polis terhadap dirinya.

“Selepas saya masuk ke rumah, barulah tahu mereka buat laporan polis terhadap saya.

“Tak tahu nak gelak atau menangis sebab agak keliru kerana mengapa masuk ke rumah sendiri pun perlu dilaporkan kepada pihak polis.

“Namun, saya di sini bukan berniat untuk menidakkan kejadian tersebut tetapi cuma ingin membetulkan fakta tentang dakwaan saya membuat khianat di tempat awam,” katanya lagi.

Awal mengakui berlaku sedikit salah faham bersama pengawal keselamatan bertugas namun tiada sebarang kecederaan yang berlaku antara mereka.

Tidak mahu memanjangkan isu, Awal juga telah melangsaikan bayaran tunggakan yuran pengurusan perumahan tersebut.

“Jangan risau, saya telah bayar semua tunggakan, malah buat bayaran advance sehingga akhir tahun ini.

“Saya juga telah mengikut semua peraturan yang ditetapkan pihak mahkamah dan bagi saya pertuduhan terhadap saya agak keterlaluan dan sebab itu tidak mengaku bersalah.

“Selepas ini, saya tak mahu menyebut tentang isu ini lagi. Harap pihak berkuasa dapat lakukan siasatan dan kes ini diselesaikan dengan baik,” jelasnya lagi.

Rentetan kejadian tersebut, Awal dan Scha sepakat mahu menjual kediaman tersebut.

“Selepas semua yang berlaku hari ini (semalam), saya dan isteri ingin menjual rumah tersebut mengikut harga pasaran semasa,” ujarnya.

Semalam Kosmo! melaporkan Awal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan itu di Jalan PJU 3/30 pukul 11.30 pagi pada 16 April lalu (2022).

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Zhafran membenarkan Awal diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI