KOTA TINGGI – Tiga penjenayah sanggup mencederakan seorang warga emas dengan menggunakan besi ketika melakukan samun di sebuah rumah sarang burung di Tanjung Sedili di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi selepas tiga suspek bangsa tidak pasti telah memecah masuk rumah sarang burung berkenaan.
Katanya, suspek telah melakukan samun serta mencederakan lelaki berusia 60-an itu yang merupakan penjaga rumah sarang burung dengan senjata dipercayai besi.
“Dalam kejadian itu suspek berjaya melarikan barang milik mangsa berupa telefon bimbit dan wang tunai RM1,500. Suspek juga telah mengikat mangsa dan melarikan tiga guni sarang burung dianggarkan seberat tiga kilogram dan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM11,500.
“Ekoran itu mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi dan mengalami kecederaan luka di belakang kepala sebelah kanan dan menerima 10 jahitan dan luka jari kaki kanan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, mangsa yang berada dalam keadaan stabil hanya menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.
“Pihak polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun hingga mendatangkan cedera. Usaha mengesan suspek juga sedang giat dijalankan,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE