MELAKA – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di ketiga-tiga daerah di negeri ini telah melepasi paras epidemik dengan 67 kanak-kanak telah dimasukkan ke hospital.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sehingga Sabtu lalu, sebanyak 124 kes dilaporkan di daerah Melaka Tengah iaitu melebihi paras epidemik 43 kes.
Katanya, bagi Alor Gajah, 162 kes baharu direkodkan dengan peningkatan 100 peratusberbanding sifar kes dicatatkan pada minggu sebelumnya.
“Daerah Jasin melaporkan 115 kes, juga peningkatan 100 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu tiada kes di laporkan dengan paras epidemik 22 kes.
“Berdasarkan rekod bermula 8 Mei sehingga 14 Mei lalu, kita dapati ketiga-tiga daerah di negeri ini telahpun melepasi paras epidemik bagi wabak HFMD ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga 12 Mei lalu, jumlah keseluruhan kemasukan ke wad perubatan kanak-kanak adalah sebanyak 67 kes.
“Sebanyak lapan kes HFMD dimasukkan ke wad pada minggu Epid (ME) 19 iaitu pada 8 Mei sehingga 14 Mei 2022.
“Ini menunjukkan peningkatan enam kes berbanding minggu sebelumnya iaitu dua kes dan sehingga 12 Mei jumlah keseluruhan kemasukkan ke wad adalah 67 kes,” katanya.
Jelasnya, majoriti kes iaitu 91.4 peratus daripada jumlah tersebut bagaimanapun di rawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian di laporkan setakat ini.
Dalam pada itu Muhamad Akmal berkata, sebanyak tiga lagi wabak dilaporkan di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan wabak sehingga ME19 adalah 16 wabak.
“Daerah Jasin melaporkan bilangan wabak yang paling tinggi iaitu 11 atau 68.8 peratus diikuti Melaka Tengah empat (25%) dan Alor Gajah satu (6.2%).
“Secara keseluruhannya, tadika, taska, pusat jagaan merupakan premis tertinggi berlaku wabak HFMD iaitu 12 wabak dan 95.5 peratus kes membabitkan kanak-kanak berusia antara enam tahun ke bawah,” katanya. – KOSMO! ONLINE