ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini sebentar tadi.
Pada aksi itu, Negeri Sembilan terlebih dahulu mendatangkan ancaman apabila sepakan sudut diambil Khuzaimi Piee tepat sampai ke Herold Goulon pada minit ke-5.
Namun tandukan pemain pertahanan dengan ketinggian 1.95 meter itu terlalu perlahan untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Pada minit ke-22, pemain sayap lincah KDA FC, Al Hafiz Harun hampir membuka jaringan menerusi sepakan percuma dari penjuru kotak penalti sebelah kiri lawan.
Walau bagaimanapun, penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed cemerlang melonjakkan badan bagi menepis bola keluar.
Seterusnya pada minit ke-34, giliran Ifwat pula yang dipaksa bekerja keras apabila dia terpaksa melayangkan badan untuk menyelamatkan gawangnya daripada dibocori bola rembatan deras tonggak penyerang Negeri Sembilan, Evanonye Kossi Adetu dari luar kotak penalti.
Pada minit terakhir separuh masa pertama, Ifwat sekali lagi memainkan peranan penting dalam menyelamatkan gawang tuan rumah.
Dia bertindak merebahkan badan dalam kotak penalti bagi mengelak daripada digelecek Evanonye yang melakukan gerakan solo dari tengah padang dan telah melepasi beberapa pemain pertahanan Sang Kenari.
Memasuki babak kedua perlawanan, KDA FC yang seakan terlena pada separuh masa pertama mula mempamerkan kebangkitan menerusi beberapa gerakan menyerang.
Pada minit ke-63, penyerang dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja berpeluang menceriakan penyokong tuan rumah apabila melepasi perangkap ofsaid hasil hantaran lambung Mohd. Fadzrul Danel.
Rembatannya bagaimanapun terlalu lemah untuk menewaskan Syihan ketika dia turut diasak oleh beberapa pemain pertahanan Negeri Sembilan dari arah belakang menyebabkannya tidak berada dalam keadaan selesa untuk melaksanakan percubaan lebih baik.
Kemudian pada minit ke-71, giliran Negeri Sembilan mencemaskan penyokong tuan rumah apabila sepakan percuma diambil pemain pertahanan kebangsaan, Ahmad Khuzaimee Piee menuju tepat ke kiri gawang tuan rumah.
Ifwat bagaimanapun jelas bersedia dengan segala kemungkinan apabila dia menepis percubaan tersebut sebelum sekali lagi menggagalkan rembatan susulan daripada seorang lagi pemain pertahanan pasukan pelawat, A. Namathevan.
Pada masa kecederaan, Syihan sekali lagi bertindak cemerlang apabila dia menggagalkan percubaan dilakukan Mohd. Fadzrul Danel ketika kedua-dua mereka berada dalam kedudukan satu sama satu untuk keputusan terikat 0-0. – KOSMO! ONLINE