BOGOTA – Seorang jurusolek dari Bogota, Colombia menarik perhatian ramai pengguna media sosial kerana solekan ilusi optiknya yang mengagumkan, lapor laman Oddity Central kelmarin.
Esther Aular, 29, memuat naik klip video dan gambar solekannya pada akaun Instagram dan TikTok bernama @_Nekita_.
Dia mengubah wajahnya menjadi pelbagai ikon pop dan makhluk aneh hanya dengan menggunakan kemahiran solekan serta bahan asas.
Antaranya termasuk watak kartun terkenal seperti The Simpsons dan Naruto serta beberapa ilusi optik yang mengelirukan penonton.
Menurut Aular, jenis solekan yang dihasilkan adalah surealisme dan ilusi optik.
“Ia mengambil masa empat hingga enam jam untuk melakukan kebanyakan solekan, namun kadangkala antara lapan hingga 12 jam.
“Ia adalah seni dan emosi saya. Saya hanya menyolek wajah dan menjadi diri yang sebenar,” kata Aular kepada agensi berita SWNS. – Agensi