KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mempunyai masalah mental direman selama lima hari selepas disyaki mencabul budak perempuan berusia 12 tahun dalam kejadian di perumahan sekitar Kerinchi, di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam.
“Suspek akan direman selama lima hari bermula semalam hingga Jumaat ini di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, suspek terbabit akan dibawa ke Hospital Bahagia selepas selesai mendapat perintah mahkamah.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan ibu mangsa membuat laporan polis mendakwa suspek itu telah mencabul anak perempuannya yang dalam perjalanan pulang dari kedai runcit bersama sepupu lelaki.
Ibu mangsa mendakwa suspek bertindak mengejar anaknya dan menahan pintu lif sebelum meraba alat sulit serta dada kanak-kanak perempuan itu. – KOSMO! ONLINE